Proses menulis karangan merupakan kemahiran yang paling sukar untuk dikuasai berbanding dengan kemahiran-kemahiran bahasa yang lain. Kemahiran mengarang juga dikatakan kemahiran tertinggi dalam peringkat kemahiran bahasa dan paling sinonim dengan mata pelajaran Bahasa Melayu. Penguasaan kemahiran menulis bukan hanya bergantung kepada bakat semata-mata malah dipengaruhi juga oleh pengajaran menulis yang bersistem dan berkesan . Oleh hal yang demikian, penting untuk kita mengetahui dan memahami dengan lebih mendalam strategi penulisan sesuatu karangan untuk membantu kita menghasilkan sebuah karangan yang baik.
STRATEGI MENULIS KARANGAN
Ada lima langkah penting yang perlu anda ikut apabila menulis karangan. Yang pertama adalah dengan membuat pemilihan tajuk yang tepat, mencari kunci tajuk, menyediakan rangka karangan, menulis karangan dan menyunting atau menyemak karangan.
(a) Memilih tajuk yang tepat
Kita mestilah membuat pemilihan taJuk yang sesuai dengan pengetahuan, pemahaman, dan keupayaan kita agar kita dapat menghuraikannya atau mengembangkannya sehingga menJadi karangan yang cukup isinya dengan jalan cerita yang baik. Semasa membuat pemilihan tajuk, kita mestilah memahami apa kehendak tajuk yang kita pilih supaya semasa proses pengembangan karangan kita tidak lari dari tajuk asal karangan. Kita juga perlulah memilih tajuk yang benar-benar kita kuasai supaya karangan yang kita tulis itu tepat, padat dan bernas dengan idea-idea yang menarik dan kreatif.
(b) Mencari kunci tajuk
Dalam setiap arahan atau soalan yang diberikan untuk membentuk tajuk karangan, kita mestilah melihat kepada kata kunci. Hal ini penting kerana kita akan mengetahui akan kehendak soalan dan juga dapat terus memikirkan idea-idea tentang tajuk karangan kita. Kebiasaannya, kata kunci yang diberikan dalam arahan ataupun soalan karangan adalah bincangkan, gambarkan, cadangkan, tulislah, andaikan, nyatakan pendapat anda, dan sebagainya. Selepas memahami kunci tajuk, rancanglah rangka karangan yang kita ingin buat supaya semasa proses penulisan karangan akan berjalan dengan lancar.
(c) Menyedia rangka karangan
Dalam penulisan karangan, kita perlulah mempunyai satu aliran yang berterusan. Hal ini demikian kerana kita akan mudah lupa apa yang kita hendak tulis bila kita tiba-tiba fokus terhadap benda lain. Jadi, kita perlulah membuat rangka karangan supaya semasa penulisan dibuat lebih berfokus dan kita tahu apa isi-isi yang kita ingin tulis. Selain itu, kita juga dapat mengelakkan daripada menulis idea-idea yang tidak sesuai dengan tajuk. Semasa proses menulis, kita juga tidak akan menyimpang daripada kehendak tajuk dengan adanya rangka karangan. Rangka karangan hendaklah ringkas dan sebaik-baiknya ditulis dalam bentuk isi-isi penting. Rangka karangan kita mestilah terdiri daripada pendahuluan, isi-isi penting dan penutup.
(d) Menulis karangan
Secara umumnya, terdapat dua aspek utama yang dinilai pada sesebuah karangan, iaitu aspek isi dan aspek bahasa. Aspek-aspek isi pula dinilai berdasarkan perkara-perkara yang memberi pertalian antara isi-isi dengan tajuk. Isi-isi yang dipilih mestilah berkaitan dengan tajuk yang dipilih. Hal ini penting supaya kematangan fikiran kita dapat menghuraikan dan memberi contoh yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih. Isi-isi juga perlulah disusun secara tertib dengan mempunyai permulaan, perkembangan, kemuncak, klimaks dan penutup. Aspek-aspek bahasa yang dinilai adalah berdasarkan perkara-perkara berikut penggunaan tatabahasa, ejaan, penggunaan tanda baca, pembahagian perenggan, dan pemilihan kata yang tepat. Semua aspek bahasa tersebut akan diambil untuk menilai penguasaan murid-murid terhadap penggunaan kemahiran yang telah dipelajari.
Pendahuluan hendaklah ditulis dalam satu perenggan sahaja dengan menyentuh sesuatu perkara yang ada kaitannya dengan tajuk karangan secara umum. Pendahuluan yang baik ialah yang dapat menarik minat pembaca serta mendorongnya untuk terus membaca. Pendahuluan sangat penting kerana disini penilai sudah boleh menilai kemahiran kita dalam penulisan karangan ini.
Dalam pembinaan perenggan sebaik-baiknya satu perenggan harus mengandungi satu isi penting sahaja. Isi penting ini pula mestilah disertai isi-isi sampingan sebagai huraian lanjut kepada isi penting dan disertakan contoh-contoh pula.
Karangan yang baik mestilah mempunyai hubungan antara perenggan pertama dengan perenggan-perenggan yang lain. Hal ini penting kerana ia akan menunjukkan kematangan kita dalam penulisan karangan ini. Untuk memperlihatkan perkaitan antara isi, gunakan penanda wacana seperti namun demikian, walau bagaimanapun, sebaliknya, tambahan pula, dan sebagainya.
Penutup karangan adalah kesimpulan karangan anda di samping dapat membayangkan pendirian anda tentang tajuk yang anda pilih. Anda boleh memberi idea-idea untuk penambahbaikan dan sebagainya. Kesimpulan dalam perenggan penutup mestilah lebih umum dan padat.
(e) Menyemak karangan
Kita perlulah membuat semakan supaya isi-isi penting yang telah kita rancang dalam rangka sebelum ini tidak tertinggal. Kita juga berkemungkinan ada idea-idea untuk menambah contoh-contoh yang perlu dan juga dari segi aspek bahasa, ejaan, tanda baca, dan tatabahasa. Kita juga perlulah menyemak jumlah kata dalam karangan kita supaya tidak kurang dari yang dikehendaki.